Written by Siti Nurhaliza
Thursday, 04 December 200811:10
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung laman ini. Harapan Siti agar anda semua dilimpahkan kebahagiaan selalu. Kepada adik-adik yang berjaya dalam UPSR baru-baru ini, Kak Siti ingin mengucapkan tahniah dan teruskan usaha untuk menjadi insan yang berguna. Kepada yang telah menduduki SPM dan STPM baru-baru ini, bersama-samalah kita berdoa agar anda semua diberikan kejayaan dan dapat keputusan yang cemerlang nanti.
Pada kesempatan ini juga, Siti ingin mengucapkan selamat berangkat kepada semua jemaah haji ke Mekah dan juga selamat menyambut hari raya korban buat semua umat Islam di mana saja anda berada. Kita doakan agar semua jemaah diberikan kelancaran selama berada di tanah suci dan mendapat haji yang mabrur, InsyaAllah.
Berita gembira buat semua, album kontemporari tradisional Siti sudahpun siap rakamannya. Sekarang ini hanya tinggal proses mastering saja. Siti amat teruja menantikan kelahiran album ini dan Siti telah berusaha menghasilkan sebuah album yang terbaik untuk anda semua dan besar harapan Siti agar album ini memberikan kepuasan kepada semua peminat. Mengenai kualiti, Siti memang tidak pandang sebelah mata, malah seluruh komposer dan produser telah memberikan yang terbaik. Keseluruhan lagu dalam album ini juga iaitu 11 lagu menggunakan live strings dan ini merupakan satu pengorbanan Siti dan SNP buat kepuasan peminat muzik semua.
Bagi Siti usaha ini akan memberikan kegembiraan apabila setiap seorang daripada anda menyokong dan mendapatkan album ini menerusi saluran yang betul. Saranan Siti dan SNP, bermula dengan SitiZone dan tenaga yang ada dalam SitiZone (iaitu anda semua), sasaran album ini menjangkau jualan 100 ribu unit akan tercapai. Bolehkah anda bersama-sama Siti? Ini adalah program tidak rasmi SitiZone iatu mencapai sasaran 100 ribu unit album ini kerana ia akan memberikan cahaya kepada industri muzik semula. Semua perkembangan terbaru mengenai album ini akan Siti war-warkan nanti dan ada ruangan khas tentang album baru ini kelak.
Perkembangan terbaru pula, Siti amat bersyukur kerana syarikat filem dari Indonesia iaitu Starvision (yang sebelum ini menerbitkan filem Ayat-Ayat Cinta), telah memilih Siti menyanyikan dua buah lagu tema untuk filem terbaru mereka iaitu Perempuan Berkalong Sorban. Siti telah siap merakamkan lagu Ketika Cinta (ciptaan Opick) dan Batasku Asaku (ciptaan Siti sendiri) dan video klip lagu Ketika Cinta juga sudahpun siap penggambarannya. Filem ini akan mula ditayangkan di Indonesia akhir bulan Disember atau awal Januari nanti. Bagi Siti ini satu penghormatan buat Siti dan hendaknya berita ini turut memberi kegembiraan buat peminat Siti di Indonesia.
InsyaAllah jika ada yang terbaru akan Siti ceritakan lagi nanti. Salam sayang buat semua. Terima kasih kerana memberi sokongan yang tidak pernah putus.
Siti Nurhaliza
Credit to sitizone